Khamis, 22 Disember 2011

naiklah bersama kami ...

Kita terus menyelak lembaran Irkam Ma’ana. Tanpa rasa bosan dan jemu. Untuk meyakinkan jiwa kita bahawa menaiki bahtera keimanan inilah apa yang sepatutnya kita lakukan. Keindahan wujud di dalamnya, kekuatan ada bersamanya. Menaiki bahtera ini, seakan-akan kita bakal menjadi manusia paling bahagia, paling hebat di atas dunia, dan berjaya pula di akhirat sana.

Akhirat. Ya. Kita menyatakan bahawa bahtera ini adalah bahtera yang menuju kepada Allah SWT, menuju kepada redhaNya dan syurgaNya. SyurgaNya berada di akhirat sana. Tanda bahawa, penumpang-penumpang bahtera ini antara ciri-cirinya adalah yang beriman dengan akhirat.

Mengapa kami beriman dengan akhirat?

Sedangkan akhirat itu tidak pula kami lihat?


Cukuplah Pada Kami Apa Yang Tuhan Kami Khabarkan.

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah Al-An’am ayat 32.

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” Surah Al-Ankabut ayat 64.

“(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).” Surah Muhammad ayat 36.

Itulah firman Tuhan kami, para penumpang bahtera. Cukuplah pada kami apa yang Dia sampaikan melalui KitabNya, Al-Quran, melalui RasulNya, Rasulullah SAW.

Akhirat yang kami percaya adalah negeri yang kekal abadi. Di sana, kami akan dibangkitkan semula daripada kematian di dunia, dan kami akan dihitung oleh Allah SWT.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.” Surah Al-Kahf ayat 29-31.

Maka pastinya kami tidak mahu menjadi yang rugi, yang terseksa.

Kami mahu menjadi yang berjaya. Yang bahagia selama-lamanya.



Maka kerana itu, kami bersungguh-sungguh di dalam kehidupan ini.

Kerana kami beriman dengan wujudnya hari akhirat itu, maka kami bersungguh-sungguh dalam mengisi kehidupan di dunia ini. Kami berusaha mengisinya dengan kebaikan. Kami berusaha mencuci diri kami daripada kejahatan. Kerana kami yakin, semua yang kami lakukan akan diberikan pembalasan. Di dunia mungkin tidak, tetapi di akhirat adalah pasti.

“Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian. Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu.” Surah Al-‘Adiyat ayat 6-11.

Kami tidak mahu di akhirat nanti, kami dimarahi oleh Allah SWT. Kami tidak mahu pada saat yang kami paling memerlukan rahmat dan kasih sayangNya, kami ditinggalkan.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” Surah Toha ayat 124.

Kalau kita perasan, di manakah lagi tempat beramal kalau bukan di dunia?

Maka kerana itulah, di dunia ini kami bersungguh-sungguh.

Sesungguhnya yang berjaya, dalam erti kata yang sebenar, adalah yang terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 186.

Maka semestinya, kami tidak mahu diri kami tertipu dengan dunia.

Dunia kami jadikan medan untuk kami beramal dan mentaatiNya.



Keimanan Menggerakkan Kami.

Kalaulah kami ini tidak beriman dengan hari akhirat, nescaya kami akan melakukan apa sahaja yang kami suka di dunia. Mati, menjadi debu. Tetapi indahnya Allah SWT dalam ‘menghidupkan’ dunia ini, dijanjikan kepada hamba-hambaNya akhirat yang kekal abadi. Agar di dunia ini, tidaklah hambaNya hidup semberono.

Keimanan ini menggerakkan kami. Kami percaya dengan apa yang Allah SWT janjikan kepada kami. Kami percaya dengan wujudnya akhirat sebagaimana yang dinyatakan olehNya. Kami percaya dengan syurga dan neraka yang diciptakan olehNya.

Bahkan logiknya, sangatlah pelik apabila alam serba sempurna ini, diciptakan hanya untuk dihancurkan begitu sahaja. Pasti selepas kehancurannya, ada sesuatu selepasnya. Mustahil Tuhan melakukan perkara yang sia-sia.

“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.” Surah Al-Anbiya’ ayat 19.

Dengan jelas, Allah SWT menyatakan bahawa kepadaNya kita semua akan dikembalikan.

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mu’minun ayat 115.

Maka keimanan ini menggerakkan kami. Menggerakkan kami untuk beramal dan berusaha. Melajkukan yang terbaik di atas dunia. Membeli akhirat dengan dunia ini. Bukannya membeli dunia dengan menjualkan akhirat.

Maka kami tunduk, taat, dan patuh kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” Surah Al-Ahzab ayat 21.

Penutup: Akhirat kampung halaman kami. Dunia hanya tempat kembara.

Akhirat adalah kampung halaman kami. Ke sana kami akan kembali.

Dunia ini tidak lain hanyalah tempat kembara mengumpul bekal. Hanya ladang untuk menanam benih. Akhirat adalah kehidupan sebenar, dan tempat menuai hasil.

Kepercayaan ini membuatkan kami penumpang bahtera tidak bermain-main di atas dunia. Serius. Berwawasan. Matang. Dan tidak mensia-siakan apa yang kami ada. Segala apa yang kami mampu, kami sumbangkan kepada Islam, di atas jalan Allah SWT.

Semuanya untuk membina kehidupan di sana.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” Surah As-Saff ayat 10-13.

Anda bagaimana?

Irkam Ma’ana!

Naiklah bersama kami!

© Langitilahi.com   

Tiada ulasan: