Iblis berkata: Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (berserah kepada Allah) di antara mereka.
[Shaad ayat 82-83]
“Aku pasrah”. “Aku redha”. “Aku berserah”.
Ungkapan yang sering kita lafazkan apabila sesuatu takdir telah menimpa diri kita. Namun sejauh mana kita benar-benar berserah dengan takdir yang menimpa itu? Adakah ia sekadar di bibir tetapi tidak sampai ke jiwa kita dengan ungkapan pasrah, redha dan berserah.
Ada dua tingkatan sikap seorang hamba apabila ia ditimpa sesuatu yang tidak ia inginkan yakni redha dan sabar.
Redha merupakan keutamaan yang dianjurkan dan sabar adalah kewajipan mutlak yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin.
Orang yang redha, ketika ditimpa musibah, ia akan mencari hikmah ALLAH yang terkandung disebalik ujian itu. Sebenarnya ALLAH telah memilihnya sebagai orang yang tiba giliran menerima ujian itu.
Dia sekali-kali tidak mengharapkan keburukan dari ketentuan atau cubaan bagi makhlukNYA.
Di lain sudut, orang yang redha, semakin bertambah semangatnya untuk bertaqarrub, menenggelam diri dalam bermusyahadah denganNYA, sehingga tiada terasa sakit dari musibah itu. Orang yang sudah mencapai tingkat ini adalah mereka yang sudah memiliki makrifat dan mahabbahtullah yang tinggi. Mereka merasakan nikmatnya musibah tersebut, kerana melihat sebagai sesuatu yang berasal dari KEKASIH yang amat mereka cintai.
"Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." [At-Taubah ayat 100]
Perbezaan antara redha dan sabar, bahawa sabar adalah menahan nafsu dan mengekangnya dari kebencian (sekalipun menyakitkan) dan mengharapkan akan segera berlalunya musibah. Sedangkan redha ialah kelapangan jiwa dalam menerima takdir ALLAH dengan tidak mengharapkan hilangnya musibah itu tetapi menjadikan redha sebagai penawarnya.
Sebab di dalam hatinya telah tertanam keyakinan dan makrifat terhadap KEKASIH. Dan apabila redha ini telah berakar umbi dalam sanubari, maka dapat menghilangkan semua rasa sakit itu.
Hassan Al Bashri berkata “ Barangsiapa yang redha terhadap apa yang menjadi suratan hidupnya, maka jiwanya akan menjadi tenang menerima hal itu, dan ALLAH pun akan memberkatinya. Tetapi barangsiapa yang tidak redha, maka pandangannya menjadi sempit dan ALLAH juga tidak memberkatinya”.
keredhaan perlu dlm meniti kehidupan sebagai titian mencapai madratilah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan